Saturday, March 1, 2008

ISU GAMBAR PAK LAH










Pak Lah melakukan kesilapan kecil, tapi penyebar gambar-gambar ini melakukan dosa besar


Maulana Arrif 1 Mac 2008

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mencerca sebahagian yang lain. Sukakah kamu salah seorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” 49:12

DUA gambar di atas menghiasi banyak laman blog. Semua orang kenal lelaki dalam gambar ini. Beliau adalah Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang lebih popular dengan panggilan Pak Lah.

Wanita dalam gambar itu ialah Datuk Michelle Yeoh, pelakon dan penerbit filem terkenal kelahiran Perak. Semua orang juga kenal Michelle, kecuali jika seseorang tidak pernah membaca akhbar.
Pak Lah dan Michelle juga pasti saling mengenali. Tidak munasabah mereka tidak kenal sesama mereka. Seorang Perdana Menteri Malaysia dan seorang lagi anak Malaysia yang telah mengukir nama di persada perfileman antarabangsa.
Kedua-dua gambar pasti dirakamkan di majlis terbuka di mana ramai orang lain turut hadir. Ertinya, mereka bukan berdua-duaan. Apa yang dirakamkan pasti berlaku dalam masa beberapa saat sahaja.
Salah satu gambar mungkin ketika Pak Lah baru mengenali Michelle. Satu gambar lagi ketika Pak Lah sudah lama mengenali Michelle. Sambil lalu di majlis berkenaan yang dihadiri beratus-ratus orang di Kuala Terengganu, Pak Lah melihat Michelle. Lalu Pak Lah menegurnya sambil tangannya singgah beberapa saat di bahu Michelle tanda kemesraan antara seorang pemimpin yang umurnya jauh lebih tua dan seorang yang dikenalinya.

Setakat ini kita tidak pernah mendengar sebarang gosip skendal melibatkan Pak Lah dan Michelle, yang ketika gambar itu dirakam sudah bertunang dengan Jean Todt, bos pasukan Formula One Ferrari.

Ertinya, selepas gambar itu dirakam, tiada apa yang tidak baik berlaku.

Kenapa gambar-gambar ini banyak dijaja dalam dunia siber Malaysia? Tujuannya hanyalah untuk mengaibkan Pak Lah. Ia dilakukan oleh musuh-musuh politiknya, atau oleh penyokong-penyokong parti politik yang memusuhinya.

Disebarkan luas di dunia siber Malaysia pada musim pilihan raya 2008. Jelas ia digunakan untuk tujuan politik pihak pembangkang. Apa salahnya Pak Lah? Tidak dinafikan beliau telah melakukan kesilapan.

Beliau telah melakukan sesuatu yang boleh menimbulkan fitnah. Mereka yang memfitnah mengambil kesempatan untuk mengesyorkan sesuatu yang boleh dipanjang-panjangkan lagi mengikut imaginasi sesiapa sahaja yang melihat gambar-gambar itu. Ia menyuburkan prasangka. Boleh jadi mereka yang melihat gambar ini akan menyangka bahawa Pak Lah adalah kaki perempuan atau seorang lelaki yang gatal.

Kebetulan pula Pak Lah telah menggagaskan Islam Hadhari. Maka berpestalah musuh-musuh politik Pak Lah dengan menyiarkan dua gambar itu bersama dengan gambar Pak Lah sedang menjadi imam solat.

Tidak mungkin Pak Lah mempunyai niat lain apabila bergambar dengan Michelle kecuali sekadar memenuhi permintaan. Biasalah, banyak orang hendak bergambar dengan PM apabila berpeluang. Inilah yang berlaku dalam gambar pertama.

Dalam gambar kedua, Pak Lah memegang bahu Michelle secara spontan. Tidak munasabah Pak Lah mahu `meraba’ di hadapan khalayak ramai.

Apa jua kupasan yang diberikan, Pak Lah tetap melakukan kesilapan. Dia tersilap kerana tidak mengambil berat kepada perkara-perkara sebegini yang boleh dijadikan modal untuk mengaibkannya. Pasti tidak ada niat buruk dalam diri Pak Lah ketika adegan-adegan di khalayak ramai ini dirakam.

Kesimpulannya, Pak Lah tidak boleh melakukan perkara-perkara seumpama ini kerana ia akan menjadi bahan fitnah besar. Pak Lah tersilap dan kesilapannya bukanlah besar sangat. Tetapi kesalahan yang dilakukan oleh mereka yang menyebarkan gambar-gambar ini adalah lebih besar. Mereka telah melakukan perbuatan yang memenuhi takrif ayat 12 Surah al-Hujurat yang maksudnya dipaparkan pada permulaan tulisan ini.

Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan daripada prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mencerca sebahagian yang lain. Sukakah kamu salah seorang daripada kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima taubat lagi Maha Penyayang.” Mereka yang menyebarkan gambar ini dengan tujuan jahat hendaklah bertaubat kerana Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.

Apa yang Pak Lah lakukan, jika ia berdosa, hanyalah satu dosa yang sangat kecil. Lainlah jika Pak Lah mempunyai niat lain. Tetapi apa yang penyebar gambar-gambar ini lakukan dengan tujuan untuk mencari kesalahannya dan mencerca (mengumpat), adalah satu kesalahan yang lebih besar. Mereka mengenepikan kepentingan akhirat untuk mencapai kepentingan dunia.

malaysiaaktif.com

Goblok:
Fikir-fikirkan lah

1 comment:

Anonymous said...

Ni sapa punya kerja ni. Nak jatuhkan Pak Lah ke!!!!.Jgn sebar gambar2 mcm ni.. Mufti kan dah bagi tau, memberitahu keburukan pemimpin kepada orang yang dipimpin kan HARUS. Backfire ni....Memang u all ni goblok.... KEMAS or kementerian penerangan punya kerja ni....


PEMUDA GERAK GEMPUR KEDAH