Monday, March 10, 2008

Pak Lah terpaksa letak jawatan




ANALISIS PILIHAN RAYA 2008




Abdullah terpaksa lepaskan jawatan


Cuma masanya bila? Buat masa ini beliau baru sahaja mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri. Setelah debu pertempuran mulai mendap ke atas tanah, itulah masa yang sesuai baginya melepaskan jawatan.

Bashir Ahmad
10 Mac 2008


DATUK Seri Abdullah Ahmad Badawi akan terpaksa melepaskan jawatan Perdana Menteri. Itulah mesej daripada keputusan pilihan raya umum (PRU) 2008 yang beliau tidak boleh tolak.Cuma masanya bila? Buat masa ini beliau baru sahaja mengangkat sumpah menjadi Perdana Menteri. Setelah debu pertempuran mulai mendap ke atas tanah, itulah masa yang sesuai baginya untuk melepaskan jawatan.
Tidak sesuai jika beliau meletakkan jawatan ketika ini kerana keadaan masih terumbang-ambing selepas BN masih berada dalam keadaan geruh akibat kejutan besar yang dialami. Masa yang sesuai ialah apabila kabinet dan kerajaan telah dibentuk.
Calon penggantinya adalah jelas. Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan mengambil alih tugas Perdana Menteri jika Abdullah meletakkan jawatan. Maka cara yang terbaik untuk memilih masa yang sesuai ialah dengan berunding dengan Najib dan Majlis Tertinggi UMNO.
Tiada sebab bagi Abdullah untuk terus menjadi Perdana Menteri kerana ia akan menambah kekusutan. Tun Mahathir Mohamad yang melantiknya kini menjadi seteru besarnya. Dan Mahathir sendiri telah bersuara supaya Abdullah berundur segera.
Jika pandangan orang ramai juga diambil kira, itulah juga pendapat mereka. Kedudukan beliau sekarang adalah ibarat orang bermain catur kena "syahmat."


Sekiranya Abdullah tidak berundur, keresahan dan kegelisahan dalam UMNO semakin membara. Mereka melihat kepimpinan beliau adalah punca utama BN hampir-hampir ditolak sepenuhnya dalam PRU 2008.
Sudah pasti kekecewaan mereka akan disalurkan melalui pemilihan pucuk pimpinan yang akan diadakan pada Perhimpunan Agung UMNO akan datang. Jumlah calon UMNO yang tewas adalah banyak. Mereka inilah yang akan bersuara menentang Abdullah.


UMNO perlu memulihkan imejnya dengan membuat penilaian diri atau post-mortem. Antara punca kelemahan yang sangat ketara ialah kepimpinan. Aspek-aspek lain ada, tetapi yang utama adalah aspek kepimpinan.
Parti tunjang BN itu juga perlu melihat sudut-sudut lain. Umpamanya UMNO kini dilihat sebagai parti orang kaya dan mereka yang mahu mencari kekayaan. Imej ini dipancarkan oleh wakil-wakil rakyat dan para pemimpin bahagian yang memandu kereta mewah dan tinggal di rumah banglo besar.


UMNO perlu kembali kepada usul asal perjuangannya. Sungguhpun negara sudah lama merdeka, semangat pejuang-pejuang kemerdekaan dulu perlu terpancar dalam parti utama orang Melayu ini. Itu semua dilihat sudah hilang daripada UMNO kerana masing-masing berlumba mahu mencari kekayaan dengan menggunakan kedudukan dalam parti. Sama ada benar atau tidak, inilah tanggapan kebanyakan rakyat terhadap UMNO.
Keputusan PRU 2008 menunjukkan bahawa rakyat kini boleh membuat perhitungan yang tidak diduga. Pilihan raya ini menandakan bermulanya era sistem dua parti yang tidak pernah wujud sebelum ini.


Barisan Nasional tidak lagi berhadapan dengan DAP, Pas dan PKR secara berasingan. Walaupun pakatan mereka bersifat sementara dan longgar, mereka berjaya bertanding satu lawan satu dengan BN hampir di semua kawasan. Ini membolehkan rakyat membuat perhitungan sama ada memilih Barisan Nasional atau Barisan Alternatif.
Zaman beranggapan bahawa rakyat tidak mempunyai pilihan lain sudah berakhir. Siapa yang memerintah tidak boleh lagi bermain silap mata kerana rakyat terdedah kepada pelbagai sumber maklumat, tidak lagi kepada akhbar dan TV.

Rakyat sekarang tidak lagi menerima bulat-bulat apa yang disogokkan kepada mereka seperti generasi dulu. Mereka semakin terpelajar dan turut dipengaruhi oleh perkembangan global. Maklumat di dalam dan luar negara boleh dicapai dalam sekelip mata melalui internet.
Mereka boleh membuat pilihan untuk tidak membeli akhbar atau tidak menonton TV. Internet memberikan pilihan yang lebih luas kepada mereka. Dan generasi Internet semakin berkembang pesat.

Jika dulu isu pembangunan seperti jalan raya, elektrik dan bekalan air memainkan peranan utama, kini tidak lagi. Rakyat mulai melihat kepada isu-isu semasa seperti kebebasan, ketelusan, rasuah, pendidikan, ekonomi dan kecekapan memerintah.
Dan jangan sekali membebanklan rakyat dengan kenaikan harga barang mendadak dan kadar tol dinaikan di sana sini. Isu periuk nasi tetap menjadi perhitungan pengundi sama ada di bandar atau luar bandar.

Malaysia sedang menuju ke arah negara maju. Ahli-ahli politik kena memahami perubahan hati nurani rakyat sebuah negara yang membangun pesat dalam dunia yang sudah jauh berubah. – www.malaysiaaktif.com

No comments: