Thursday, March 27, 2008

Kebebasan akhbar dalam ujian


Bashir Ahmad

27 Mac 2008

SEBAIK-BAIK sahaja Lim Guan Eng memulakan tugas, akhbar The Star mengatur satu interbiu dengan Ketua Menteri Pulau Pinang yang baru dari DAP itu.

Ketua Pengarang akhbar berbahasa Inggeris milik MCA itu, Datuk Wong Chun Wai telah mengadakan interviu eksklusif dengan Lim. Soalan-soalan yang dikemukakan tidak datang dari Wong, tapi dilontarkan oleh orang ramai melalui internet. Ini taktik yang baik kerana jika ada apa jua perkara sensitif yang Lim bangkitkan, Wong boleh menjawab bahawa soalan berkaitan bukan datang dari mulutnya.

Dan pada hari ini Wong menginterviu Menteri Besar Selangor yang baru, Tan Sri Khalid Ibrahim, Bendahari PKR.

Sebuah lagi akhbar berbahasa Inggeris, The Sun hari ini turut menyiarkan interviu eksklusif dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Ini satu fenomena yang mungkin sukar dilakukan sebelum PRU 2008, tapi akhbar berbahasa Inggeris sudah mula menguji tembok kebebasan media di negara ini.

Bagaimanapun, Utusan Malaysia dan Berita Harian masih berhati-hati. Berita-berita yang suatu masa dulu boleh dianggap sebagai `jangan disiarkan’ kini diselit-selitkan sebagai berita kecil di halaman dalam.

Apakah Utusan Malaysia dan Berita Harian sudi menyiarkan interviu eksklusif dengan para pemimpin parti pembangkang di Parlimen? (Istilah pembangkang perlu digunakan mengikut konteks kerana di lima Dewan Undangan Negeri BN yang menjadi pembangkang).

Bayangkan Mingguan Malaysia yang terkenal dengan ruangan interviunya tiba-tiba memuatkan temu bual dengan pemimpin de facto PKR itu `tanpa tapis.’ Persoalannya adakah Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Khalid Mohd akan menerima telefon dari `atas.’

Sebelum PRU 2008 pun boleh dikatakan kesemua editor dan wartawan amat mengharapkan satu suasana media yang lebih bebas tapi bertanggung jawab di Malaysia. Bagaimanapun, perkara ini hanya menjadi bahan percakapan sama ada di seminar atau dalam perbualan sesama mereka.

Antara perkara –perkara yang dilarang ialah apa jua yang melanggar peruntukan undang-undang – Akta Rahsia Rasmi, Akta Hasutan, Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Fitnah dan beberapa lagi. Namun larangan yang tidak bertulis juga paling dijagai supaya tidak dilanggar. Di kalangan editor mereka akan menapis sesuatu bahan sebelum siaran dengan bertanya kepada diri sendiri, adakah ia `betul dari segi politik’ (politically correct)?

Andainya The Star dan The Sun menyiarkan interviu Lim dan Anwar Ibrahim sebelum PRU 2008, tentulah editor-edtornya akan ditanya “apa tujuan awak siarkan cerita ini?”

Tidak pula diketahui sama ada soalan tersebut telah ditanya kepada The Star dan The Sun sekarang. Rasa-rasanya tidak. Jika tidak, ia bermakna telah bermula perubahan ke arah media yang lebih bebas di negara ini.

Selepas menyaksikan betapa media alternatif dalam internet memainkan peranan yang besar dalam memberikan kejayaan kepada pembangkang dalam PRU 2008 dengan keputusan yang sama sekali tidak diduga oleh semua orang sebelum ini, akhbar tidak mempunyai pilihan lain lagi jika mahu kembali mendapat kepercayaan daripada orang ramai.

Agak menarik Radio 24 (milik kerajaan) beberapa hari sebelum PRU 2008 telah menyiarkan satu tinjauan pendapat pendengar dengan pertanyaan – Setujukah anda tulisan-tulisan negatif dalam blog menggugat proses demokrasi?

Kesemua pendengar yang memberikan respons menyatakan bukan sahaja tulisan-tulisan dalam blog itu tidak menjejaskan proses demokrasi, malah ia adalah sebahagian daripada proses demokrasi yang sihat.

Salah seorang pendengar memberitahu dengan tegas bahawa akhbar arus perdana di Malaysia sekarang tidak dipercayai lagi kerana terlampau berat sebelah kepada kerajaan dan BN. Sebab itulah semakin ramai yang beralih ke internet .

Disebabkan hilang kepercayaan kepada akhbar arus perdana, mereka memberikan kepercayaan pula kepada blog dan laman berita yang propembangkang. Apa sahaja yang dosogokkan oleh penulis-penulis blog akan ditelan bulat-bulat oleh pembaca sekalipun ia jelas berupa fitnah dan lebih berat sebelah kepada pembangkang berbanding condong akhbar arus perdana kepada kerajaan dan BN .

Sebaliknya akhbar arus perdana yang sentiasa berhati-hati dan beretika supaya tidak melakukan sesuatu yang boleh menyebabkan tindakan diambil terhadap pengarang-pengarangnya telah hilang integriti, bukan kerana berbohong tapi kerana dianggap berat sebelah atau tidak adil.

Inilah kesan uruk daripada kawalan yang keterlaluan terhadap akhbar arus perdana yang dimiliki oleh parti-parti yang memerintah melalui pemilikan saham majoriti sama ada secara langsung atau melalui proksi.

Persoalannya, apakah pemilik-pemilik saham majoriti akan menuntut keadaan terus kekal seperti dulu atau memberikan sedikit kebebasan kepada para editor untuk menyiarkan apa yang betul atau tidak betul dari segi politik?

Realitinya, apa yang betul dari segi politik atau politically correct juga sudah berubah. Malah kawalan yang keterlaluan terhadap media arus perdana kini dianggap sebagai tidak betul dari segi politik. Manakan betul jika pembaca tidak lagi mempercayai apa yang disiarkan. Sebaliknya media alternatif dalam internet yang diuar-uarkan sebagai tidak boleh dipercayai, kini semakin dipercayai.

Kita tunggu dan lihat apakah Utusan Malaysia dan Berita Harian juga akan menginterviu Guan Eng dan Anwar Ibrahim. Atau setidak-tidaknya Menteri Besar Selangor dan Menteri Besar Perak yang baru? Kelihatan akhbar berbahasa Malaysia terlalu lambat menghidu angin perubahan. Atau mereka masih dalam fobia disebabkan trauma kawalan sebelum PRU 2008 terlalu kuat sehingga menjadikan mereka sebagai wartawan robot.

Angin perubahan sudah terasa dalam akhbar berbahasa Inggeris dan sudah lama bertiup dalam akhbar berbahasa Cina. Bila lagi mahu mencuba wahai pengarang-pengarang akhbar berbahasa Malaysia? Jangan sampai ketinggalan dan kehilangan lebih banyak pembaca. – malaysiaaktif.com

Goblok:

-Nasib baik dalam dunia siber bebas ;-)...


No comments: