Thursday, March 6, 2008

Ramalan Keputusan PRU 2008

Coretan Goblok:
-hmm terjumpa pula Ramalan PRU 2008 ni
..apa lagi..baca ler ;-)


CELOTEH ABANG MAT

Ramalan keputusan Pilihan Raya Umum 2008

6 Mac 2008

KETIKA Abang Mat mencoret tulisan ini, tinggal kira-kira 36 jam sahaja lagi sebelum 10.7 juta pengundi menentukan keputusan pilihan raya umum (PRU) 2008.

Maka Abang Mat telah berjumpa dengan Nujum Pak Belalang untuk meneropong keputusan PRU 2008.

Menurut Pak Belalang, janganlah percayai sangat teropongnya kerana sudah dipakai sejak pilihan raya pertama. Sekarang pilihan raya ke-12. Disebabkan sudah lama dipakai, maka lensa teropongnya agak kelabu sedikit.

Tidak mengapalah. Kelabu pun kelabulah, asalkan masih boleh meneropong. Tapi kena beri ruang untuk kesilapan sebanyak 20 peratus.

Beginilah ramalan Pak Belalang berdasarkan teropong kelabunya.

Masih ingatkah cakap Haji Hadi Awang, panglima angkatan Pas beberapa hari selepas pembubaran Parlimen pada 13 Februari lalu. Katanya, Pas akan terus berkuasa di Kelantan, menawan semula Terengganu dan menawan buat kali pertama negeri Kedah.

Kata Pak Belalang, jangan percaya sangat cakap Haji Hadi kerana dia bukan ahli makrifat. Nasibnya sendiri di Rhu Rendang (DUN) dan Marang (Parlimen) beliau tidak pasti.

Cakap Haji Hadi untuk berkuasa di tiga negeri itu hanyalah angan-angan peribadinya. Dan sekadar mahu memberikan semangat kepada orang-orang Pas supaya berkempen bermati-matian menentang BN.

Abang Mat agak tidak sabar mendengar mukadimah Pak Belalang, lalu meminta dia terus pergi kepada ramalan secara spesifik.

“Sabar..sabar,” kata Pak Belalang.” Teropong ini mengambil masa sedikit untuk nampak apa yang diteropong kerana kelabu.”

Abang Mat terpaksalah diam selama beberapa minit sebelum tersentak apabila Pak Belalang bertempik:” Sudah nampak!”

Kata Pak Belalang sambil telinga Abang Mat mendengar dengan penuh suspens:” Barisan Nasional akan terus berkuasa di Terengganu, Kedah dan negeri-negeri lain...tapi di Kelantan kurang jelas.”

“Isyyy...tak boleh nampak jelas,” sambung Pak Belalang sambil menggosok lensa teropong dengan kertas tisu.” Sekejap nampak biru...sekejap nampak hijau...susahlah.”

Selepas lebih dua jam menghabiskan masa di pondok Pak Belalang, Abang Mat beredar kerana jawapan bagi negeri Kelantan masih kelabu.

Maka terpaksalah Abang Mat mencari kaedah lain untuk mendapatkan jawapan bagi negeri Kelantan. Kaedah teropong Pak Belalang tidak jelas bagi Kelantan.

Mula-mula Abang Mat menggunakan kaedah analisis statistik dengan membelek keputusan PRU 2004. Dalam pilihan raya itu BN menang besar di semua negeri, kecuali di Kelantan yang mempunyai 45 kerusi DUN.

Pas memenangi 24 kerusi, BN memperoleh 21 kerusi. Perlawanan sengit berlaku di 21 kerusi di mana majoriti kemenangan tidak sampai 1,000 undi. Ertinya kali ini apa jua boleh berlaku di 21 kerusi itu – 11 dipegang Pas dan 10 BN.

Di antara 21 kerusi itu, lima dimenangi dengan majoriti bawah 100 undi. Pas menang di Gaal (majoriti 43 undi), Kota Lama (34), Temangan (80) dan Kemuning (2), manakala BN menang di Manek Urai dengan majoriti 53 undi.

Berdasarkan statistik 2004 ini, memang agak sukar untuk membuat andaian. Siapa yang menggunakan taktik kempen yang betul boleh mengubah kedudukan 2004. BN berjanji macam-macam projek akan dibawa ke Kelantan. Tapi dulu pun BN telah menjanjikan seribu macam projek pembangunan, tapi orang-orang Kelantan masih pangkah `bule.’

Suasana PRU 2008 sangat berbeza daripada suasana PRU 2004. Tentulah ia juga akan mempengaruhi pendirian pengundi.

Maka Abang Mat terpaksalah merisik maklumat daripada seorang rakan yang bekerja di sebuah agensi kerajaan yang tugasnya sekarang memantau pilihan raya di Kelantan.

“Susah cakaplah,” katanya.``Ini hari begini...esok berubah pula.”

Maka akhirnya Abang Mat terpaksalah membuat andaian dengan melambung duit 20 sen. Kalau tepak sireh menang BN, kalau angka 20 menang Pas.

Duit 20 sen pun dilambung...bergolek di atas lantai....terus bergolek sehingga terpaksa Abang Mat mengejarnya....terus bergolek jauh...ehh..ehh...bergolek ke bilik air dan terus masuk ke dalam saluran air dan hilang.

Abang Mat minta maaf kerana belum dapat memberikan jawapan yang kata orang putih “affirmative.” Terpaksa merisik lagi daripada sumber-sumber lain. Hasilnya jika dapat akan disiarkan esok. Sementara menunggu hasil pencarian seterusnya, pandai-pandailah serkap jarang kalau ditanya rakan-rakan. - malaysiaaktif.com

No comments: