Maulana Arrif
5 Julai 2008
PADA 6 Julai esok akan berlansung perhimpunan Protes Rakyat anjuran pembangkang bagi membantah kenaikan harga minyak. Pada mulanya dijadualkan di Padang Timur Petaling Jaya, tetapi pada saat-saat akhir diubah ke Stadium Kelana Jaya.
Sejak kira-kira sebulan lalu perhimpunan itu diuar-uarkan supaya disertai kira-kira sejuta rakyat. `Bapa demonstrasi negara' Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjelajah ke seluruh negara untuk menggembeleng rakyat supaya menyertai perhimpunan tersebut. Isu kenaikan minyak telah dijadikan pencetus dan pemangkin orang ramai supaya bersedia untuk mengorbankan hari cuti hujung minggu bagi menjayakan agenda politik Anwar atas nama Pakatan Rakyat.
Anwar telah mencanangkan bahawa jika beliau menjadi Perdana Menteri dan Pakatan Rakyat menguasai kerajaan pusat, harga minyak akan diturunkan serta merta.
Dalam masa yang sama Anwar dan konco-konconya memberitahu orang ramai bahawa Pakatan Rakyat hanya menunggu masa sahaja untuk membentuk kerajaan kerana jumlah ahli parlimen Barisan Nasional yang akan berpaling tadah sudah mencukupi. Malah mereka telah mengumumkan bahawa pada 16 September 2008 (hari ulang tahun pembentukan Malaysia) Anwar akan ditabalkan menjadi Perdana Menteri. Alangkah `bertuah' rakyat Malaysia kerana akan dipimpin oleh seorang Perdana Menteri yang amat disayangi oleh Amerika (lihat rencana Apa hubungan Anwar dengan Amerika?).
Jika kita kembali kepada kewarasan, kita harus bertanya apa perlunya perhimpunan gergasi itu mahu diadakan sedangkan Anwar sudah pasti akan menjadi Perdana Menteri pada 16 September yang hampir tiba. Jika Anwar sudah menjadi Perdana Menteri, kotakanlah janjinya untuk menurunkan harga minyak serta merta. Habis cerita! Buat apa susah-susah mengadakan demonstrasi yang akan meletakkan negara dalam keadaan semakin tidak tenteram. Kini bukan sahaja polis, tapi tentera juga telah diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.
Tapi Anwar dan konco-konconya masih mahu meneruskan perhimpunan tersebut. Ingin ditanya, apakah beliau mahu menumbangkan kerajaan yang ada melalui demonstrasi rakyat sebagaimana rakyat Indonesia menjatuhkan Presiden Suharto dulu?
Ini sebenarnya membuktikan bahawa Anwar tidak yakin yang beliau boleh menjadi Perdana Menteri melalui tindakan demokrasi yang sihat. Suatu masa dulu beliau sangat hampir ke jawatan Perdana Menteri Malaysia, tapi takdir Allah menentukan Anwar gagal menjadi Perdana Menteri ketika itu.
Kini beliau merancana perjalanan baru ke Putrajaya melalui demonstrasi dan muslihat politik yang licik dengan menggunakan istilah rakyat sebagai slogan politiknya. Pakatan pembangkang dinamakan Pakatan Rakyat. Ketuanan Melayu diperlekehkannya dengan Ketuanan Rakyat. Parti pimpinan isterinya dinamakan Parti Keadilan Rakyat. Malah demonstrasi yang akan diadakan esok juga dinamakan Protes Rakyat.
Setahu kita, perkataan rakyat atau people dalam bahasa Inggeris paling lumrah digunakan oleh oleh golongan sosialis dan komunis. Dua negara komunis yang masih ada ialah Republik Rakyat China (China) dan Republik Rakyat Korea (Korea Utara).
Rakyat Malaysia telah ditipu oleh Anwar yang berjaya memutar otak mereka supaya membenci dan menentang kerajaan dengan mengelabui fikiran mereka supaya mempercayai bahawa apa jua tindakan pembankang yang dipimpinnya adalah tindakan rakyat dan untuk rakyat.
Hakikat sebenarnya, segala tindakan atas nama rakyat itu adalah tindakan oleh Anwar dan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri. Melihat kepada keadaan negara yang semakin tidak menentu dan boleh menjunam ke kancah huru-hara jika tidak kena gayanya, rakyat harus sedar bahawa Anwar sebenarnya tidak pedulikan semua ini. Beliau tidak peduli sama ada negara jadi huru-hara dan ekonomi semakin merudum serta rakyat yang menanggung kesengsaraan.
Yang penting bagi Anwar ialah ``saya mesti jadi Perdana Menteri Malaysia.''
Tiba-tiba, dalam kesibukan mengatur agenda politik demontrasi dan tipu-helah untuk mencuri ahli-ahli parlimen BN yang telah diundi oleh rakyat, satu laporan liwat dibuat terhadapnya. Kelam-kabut Anwar untuk menepis tuduhan liwat itu. Beliau lari ke Kedutaan Turki kononnya dijemput ke sana. Rupa-rupanya Anwar sendiri pergi tanpa dijemput ke Kedutaan Turki, sebuah negara yang mempunyai hubungan rapat dengan Amerika.
Anwar juga berkata, ada cubaan untuk membunuhnya. Kononnya beliau mendapat khabar daripada sumber-sumber risikan tentera. Pihak perisikan tentera telah menafikan perkara itu.
Anwar menuduh Datuk Seri Najib terlibat dalam pakatan tuduhan liwat terhadapnya. Dia juga menuduh Najib terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya dan menampilkan keterangan bersumpah penyiasat persendirian P. Balasubramaniam untuk menyokong dakwaan terhadap Najib.
Sehari kemudian, Balasubramaniam menarik balik surat sumpahnya. Sudah pasti Anwar akan menyatakan semuanya ini adalah permainan politik Najib yang mendapat sokongan polis. Anwar melalui PKR telah pun membuat tuduhan terhadap Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail kononnya mereka memutar belit bukti dan siasatan dalam perbicaraan kes liwat terhadapnya dulu.
Segalanya berlaku seolah-olah untuk menunjukkan bahawa Anwar adalah mangsa penganiayaan dan komplot untuk menghalangnya daripada menjadi Perdana Menteri. Kenapa Najib pula yang kini dijadikan sasaran serangannya? Menurut bekas setiausaha politiknya, Mohammad Ezam Mohd Nor, Anwar memfitnah dan menyerang peribadi Najib kerana Timbalan Perdana Menteri itu merupakan penghalang besar untuk Anwar mencapai cita-cita menjadi Perdana Menteri (lihat Utusan Malaysia 5 Julai 2008).
Nampaknya, sekalipun jika polis mendapati ada bukti (melalui ujian pakar hospital terhadap pengadu) untuk mendakwa Anwar atas tuduhan liwat, orang ramai telah dikelabui hati mereka oleh Anwar supaya jangan sekali-kali percaya kepada polis. Malah rakyat juga telah ditarik hidung mereka supaya jangan sekali-kali mempercayai mana-mana badan dan institusi yang berkaitan dengan pentadbiran kerajaan.
Hati dan minda mereka cuba dikuasai supaya percaya hanya kepada Anwar dan Pakatan Rakyat.
Esok akan berlangsung Protes Rakyat yang asalnya untuk membantah kenaikan harga minyak. Mari kita tengok sama ada perhimpunan itu memprotes terhadap penstrukturan semula subsidi minyak atau cuba melaungkan bahawa `Anwar tidak bersalah...Hidup Anwar ...Mampus....@*&$!! BN''.
Jika Anwar seorang yang benar-benar beriman, kenapa beliau tidak mengambil pengajaran daripada kisah Nabi Yusof dalam Quran. Baginda semasa kecil cuba dibunuh oleh adik beradiknya, tapi terselamat. Kemudian Nabi Yusof difitnah oleh isteri pembesar Firaun, dimasukkan ke penjara, tapi akhirnya keluar dan menjadi wazir (Perdana Menteri).
Siapa yang menyelamatkan Nabi Yusof. Tentulah Allah s.w.t.
Jika Anwar benar-benar beriman, beliau pada ketika ini sepatutnya menyerahkan diri sepenuhnya (bertawakal) kepada Allah Yang Maha Berkuasa. Jika Anwar benar, percayalah bahawa Allah pasti menolongnya.
Dan bukankah doa orang dianiaya itu sangat mustajab? Maka berdoa dan berserah dirilah kepada Allah s.w.t sebagaimana yang Nabi Yusof lakukan. Sekalipun Anwar dimasukkan ke penjara seperti Nabi Yusof, Anwar akan tetap akan menjadi Perdana Menteri jika itulah ketetapan Allah. Tiada siapa yang boleh mengubah ketetapan Allah. Itu janji Allah yang menjadi prasyarat keimanan.
Bukankah Allah telah mengingatkan kita supaya bersabar dalam menghadapi apa jua ujian. Maka bersabarlah dan mintalah pertolongan Allah. Janganlah menghasut rakyat supaya mengambil tindakan yang tidak sepatutnya. - malaysiaaktif
No comments:
Post a Comment