Monday, July 7, 2008

Perhimpunan di Kelana Jaya hanya satu permulaan

Goblok: konon satu juta...seratus ribu pun tak sampai...alahai..kecian dia.. bukan nak mengata tapi memang orang kata..fikir-fikirkan















Bashir Ahmad
6 Julai 2008


KELANA JAYA - Perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat di Stadium Kelana Jaya pagi ini dinamakan Protes Sejuta Rakyat, tapi sehingga tengah hari kelihatan hanya kira-kira 20,000 berada dalam stadium yang boleh memuatkan 50,000 penonton itu.


Kebanyakan mereka memakai baju-T berwarna merah darah yang bertulis Protes Sejuta Rakyat dan Protes Sampai Turun. Diadakan bertujuan untuk membantah kenaikan harga minyak, tapi selepas sejam isu-isu kenaikan harga minyak dilaungkan oleh beberapa penceramah, mauduknya mulai beralih ke isu kes liwat yang Anwar Ibrahim hadapi sekarang.


Kumpulan kaum India, dipercayai dari Hindraf paling banyak membawa pemidang protes harga minyak. Mereka berbaris seketika di tengah padang stadium di bawah panas terik cahaya matahari sambil mempamerkan beberapa pemidang. Gelagat mereka menarik berpuluh-puluh orang yang memetik kamera untuk merakamkan adegan.


Salah satu pemidang yang diarak oleh kumpulan India ini berbunyi `Turunkan harga minyak, nanti rakyat naik minyak.'















Turut kelihatan beberapa bendera parti Pas, PKR dan Hindraf. Tidak nampak satu pun bendera berlambang roket (DAP).

Yang banyak hadir dalam stadium adalah muka-muka Melayu dan sebilangan India dari kumpulan Hindraf. Muka Cina boleh dibilang. Barangkali orang-orang DAP yang majoriti ahlinya kaum Cina lebih seronok berada di rumah bersama keluarga pada hujung minggu. Dan mereka hanya mahu menangguk laba politik tanpa bersusah payah seperti orang-orang Melayu dari Pas dan PKR serta para penyokong Hindraf.


Juruacara mengumumkan perhimpunan akan berlarutan hingga ke tengah malam, atau barangkali hingga ke hari esok jika mereka yang hadir tidak pulang ke rumah kerana kepenatan. Pidato demi pidato diselang-seli dengan persembahan nyanyian dan muzik . Cuaca hari ini juga agak panas menyebabkan hanya bahagian stadium yang terlindung daripada cahaya matahari dipenuhi dengan baju-T berwarna merah.


Kenapa warna merah darah menjadi pilihan? Selain baju-T merah, ramai juga yang memakai kain lilit merah di kepala. Bayangkan rupa seseorang yang berkopiah atau berserban yang dililiti kain merah, berjambang dan memakai baju merah. Bayangkan apabila mereka menyambut pekikan pemidato dengan laungan `Hidup Rakyat' bertalu-talu. Bagaikan mereka mahu ke medan perang.


Bagaimanapun suasana sepanjang perjalanan dan di luar stadium agak aman. Tiada terak FRU dan anggota polis kelihatan di pekarangan stadium. Hanya beberapa sekatan jalan raya diadakan di beberapa jalan utama menuju ke Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Inilah suasana di Stadium Kelana Jaya pagi ini. Dipenuhi dengan celaan terhadap kerajaan BN. Salah seorang pemidato cuba mengapi-apikan semangat mereka dengan berkata:`` Bukan Anwar yang meliwat, tapi BN meliwat rakyat.''

Juruacara perhimpunan mengumumkan Saudara Anwar dan Lim Kit Siang akan turut hadir. Barangkali pemimpin-pemimpin besar Pakatan Rakyat akan hadir apabila cuaca tidak lagi panas dan suasana lebih selesa. Kerja remeh dan renyah biarlah dilakukan oleh golongan `rakyat.'

Selepas seorang demi seorang pemidato tampil ke corong pembesar suara membelasah BN dan UMNO, pemidato terakhir sebelum selingan persembahan pentas tengah hari ialah Tian Chua, Ketua Penerangan PKR yang sekarang bergelar Yang Berhormat sebagai Ahli Parlimen Batu (Wilayah Persekutuan).

Siapa tidak kenal Tian Chua, tokoh demonstrasi jalanan yang telah beberapa kali ditangkap FRU. Pidato Tian Chua dalam bahasa Melayu agak fasih.













``Perhimpunan ini hanyalah satu permulaan. Sudah 10 tahun kita tidak berhadapan dengan FRU. Kita akan kembali hidupkan reformasi,'' katanya merujuk kepada siri demonstrasi Reformasi pada 1998 yang dilancarkan apabila Anwar ditahan dan kemudian dituduh meliwat.

Kemudian Tian Chua melaungkan berkali-kali:`` Lawan tetap lawan... reformasi...lawan tetap lawan...reformasi..hidup rakyat.''

Daripada isi pidatonya, jelas bahawa demonstrasi jalanan akan digerakkan semula. Untuk apa? Barangkali untuk mempertahankan Anwar jika ditahan dan dihadapkan ke mahkamah sekali lagi atas tuduhan meliwat.

Tian Chua yang kurang bercakap di Parlimen nampaknya sudah bersedia untuk kembali ke jalan raya yang telah lama menjadi gelanggang politiknya. Di jalanan Tian Chua adalah panglima, tidak di Parlimen.

Ternyata ada kewajaran bagi pihak tentera turut diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Parti-parti kumpulan Pakatan Rakyat dan NGO-NGO penyokongnya termasuk Badan Peguam (Bar Council) telah mempertikaikan langkah kerajaan untuk mengerahkan tentera jika keadaan diperlukan. Kata mereka, penglibatan tentera akan membunuh demokrasi.


Apakah demontrasi jalanan tidak akan membunuh demokrasi? Bukankah pilihan raya umum baru sahaja berlalu dan buat pertama kali dalam sejarah pilihan raya itu telah memberikan kuasa pentadbiran di lima negeri kepada Pakatan Rakyat. Malah BN hilang majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. Masih tidak puas hatikah?

Jawabnya amat jelas. Ya, memang mereka amat tidak puas hati. Mereka mahukan kuasa pemerintahan negara dan Anwar menjadi Perdana Menteri. Dan jangan sesiapa sekalipun berani mengusik Anwar. Apatah lagi untuk membawanya ke mahkamah dan mengenakan tuduhan liwat ke atasnya. Bagi mereka Anwar seorang yang maksum. Sentiasa betul, benar dan tidak akan melakukan apa jua kesalahan.

Kenaikan harga minyak hanyalah satu alasan untuk menjemput `rakyat' supaya turun beramai-ramai ke jalanan untuk bersama menyokong dan mempertahankan Anwar. - malaysiaaktif.com

No comments: