Goblok: Melayu Jangan Mudah Lupa...
Situasi iklim politik negara hari ini seram sejuk dibuatnya. Fitnah, tuduh menuduh dan hasut menghasut semakin menular tanpa mempedulikan natijah yang bakal menimpa kepada bangsa dan negara. Rakyat yang tidak berdosa hari ini disajikan dengan cerita-cerita yang meloyakan berbaur fitnah, tuduh-menuduh dan pelbagai hasutan yang tidak diambil ikhtibar oleh ahli-ahli politik yang taksub membabi buta semata-mata kepentingan mereka dan kuasa. Paling dukacita situasi politik meloyakan ini hanya melibatkan orang Melayu yang beragama Islam saja.
Budaya politik hanyir dan meloyakan ini nampaknya menjadi medan baru bagi mereka yang gilakan kuasa. Tindakan ahli-ahli politik hari ini seolah-olah mereka sudah hilang pertimbangan dan kewarasan serta tidak lagi menggunakan akal yang dianugerahkan Allah dengan sempurna sehingga agama dipertaruhkan sebagai agenda untuk berkuasa.
Al-Quran dan Hadis tidak lagi menjadi rujukan dan pedoman, sebaliknya digunakan sebagai elemen dan batu loncatan demi kuasa. Manakala sikap suka memfitnah dan kebencian sesama bangsa sendiri yang ada dalam diri orang menjadi amalan yang jelas boleh menghancur dan menggangu-gugat keamanan dan kekuatan umat Islam. Hari ini orang Melayu dipersendakan manakala ada pihak hanya mampu tersenyum gembira akan kebodohan segelintir sikap orang-orang Melayu yang suka mencela dan mengaibkan sesama mereka.
Sekali sekala kita hendaklah melihat sejarah akan natijah akibat menularnya budaya dan gejala politik hanyir dan meloyakan ini. Tentu ahli-ahli politik yang memperjuangkan agama Islam boleh menterjemahkan ayat-ayat dalam Al-Quran dan Al-Hadis mengenai kisah-kisah sejarah akibat sikap penyakit fitnah dan mengadu-domba kepada bangsa Melayu beragama Islam. Lihat bagaimana sejarah Islam dan runtuhnya Kerajaan Islam dan umat Islam khasnya apabila membelakangi agama kerana gejala fitnah dan hasutan menjadi darah daging demi kuasa.
Tapi puak-puak ini membisu seribua bahasa, sebaliknya kenyataan MB Kelantan membuatkan semua orang tertanya-tanya, mungkin MB Kelantan sudah lupa. MB Kelantan berkata tuduh menuduh dalam Islam besar dosanya, senang saja kita tuduh liwat atau zina, sedangkan tuduh cabul kehormatan menjatuhkan maruah orang (Utusan Malaysia, 5 Julai 2005) beliau menyatakan demikian apabila diminta mengulas mengenai pandangan Mufti Perlis supaya Anwar dan Mohd Saiful bersumpah atau ‘bermubahalah’ berhubung isu liwat yang semakin mengelirukan masyarakat Islam.
Apa yang diucapkan oleh MB Kelantan tidak sama dengan apa yang dibuat dan dihayati oleh pengikut-pengikutnya. Bacalah dalam media perjuangan mereka seperti Harakah dan lain-lain lidah perjuangannya, penuh dengan hasutan dan fitnah tanpa memperdulikan dosa. Hari ini puak-puak ini cuba menghasut dan mengelirukan umat Islam apabila dalam laporan HarakahDaily.Net, mereka menyatakan pihak polis menghalang orang ramai hadir ke perhimpunan di Stadium Kelana Jaya.
Betul ke apa yang mereka katakan ini? Atau pun hanya sekadar kepentingan politik semata-mata? Bagi saya ia adalah satu fitnah dan berbaur hasutan? Saya dan beberapa rakan sendiri berada di sana dan pihak polis langsung tidak menghalang sesiapa untuk hadir ke perhimpunan tersebut melainkan hanya menjalankan tugas untuk memastikan supaya tidak berlaku kesesakan lalulintas dan menyusahkan orang lain yang tidak berminat dengan perhimpunan tersebut. Nampak, keikhlasan anggota polis yang bertugas demi menjaga keamanan disalah tafsirkan serta difitnah dan dinafikan.
Bagaimana pula dengan akuan bersumpah yang di buat oleh Raja Petra? Sebagai orang Islam apakah tindakan beliau memfitnah isteri Timbalan Perdana Menteri berhubung isu pembunuhan Altantuya tidak mengaibkan seseorang dan tidak berdosa? Inikah manusia-manusia yang perlu kita sanjungi dan menyokong membabi buta apa yang dikatakannya. Persoalannya kenapa beliau enggan mendedahkan nama sumber pemberi maklumat tentang penglibatan Rosmah dalam pembunuhan Altantuya? Nampaknya puak-puak mulut hanyir ini menggunakan skrip sama untuk agenda politik mereka iaitu ancaman keselamatan.
Sebab keselamatanlah juga Anwar hari ini bebas bersuara dan muncul di hadapan penyokongnya sehingga ke P.Pinang. Tetapi sebelum ini beliau mendakwa keselamatan beliau terancam, begitulah mainan politik puak-puak bermulut hanyir ini yang sanggup bersumpah dan mempermainkan nama Allah semata-mata demi kuasa.
Jika benarlah Anwar tidak melakukan perbuatan yang dilaknati Allah itu, kenapa beliau tidak mengumumkan persetujuan untuk bersumpah atau ‘bermubahalah’ seperti yang di cadangkan oleh Mufti Perlis dan dipersetujui oleh MB Kelantan? Kenapa beliau tidak menjawab kepada soalan wartawan yang bertanya mengenai cadangan Mufti Perlis ini? Kenapa beliau mengelak untuk menjawab pertanyaan tersebut? Bukalah minda dan janganlah menggunakan nama Allah semata-mata untuk tunjuk yang kita ini baik dan berada dijalan yang betul tetapi pada hakikatnya ia adalah sebaliknya.
Atau kerana beliau takut akan rakan-rakannya yang mula membongkar salah lakunya. Betul ke beliau akan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang telah 30 tahun dilaksanakan? Jika benar, nescaya ia boleh menggugat kedudukan orang Melayu untuk mencapai seperti apa yang dinikmati sekarang. Bacalah dan hayatilah wahai bangsa Melayu akan kenyataan Anwar dalam majalah Asia Inc, Asian Business Asian Views terbitan bulan Mei-Jun lalu. Renungi dan ambilah ikhtibar akan perjuangan Anwar. Kerana hilang sokonganlah beliau meraih simpati antarabangsa. Menjaja dan memburukan nama negara di persada antarabangsa sehingga beliau sanggup menjatuhkan maruah bangsanya sendiri. Semata-mata agenda politiknya untuk menjadi Perdana Menteri September nanti.
Nampaknya walaupun pilihan raya sudah berlalu, namun ahli-ahli politk masih leka dengan mainan politik demi kuasa. Sepatutnya agenda pembangunan negara dalam memastikan rakyat jelata menikmati kemakmuran negara dijadikan agenda utama. Bukannya adu domba dan fitnah yang semakin melata bermaharajalela. Fikirlah masa depan bangsa dan agama bukannya hanya pandai manis berkata, rakyat terbiar negara tergadai. Jika agenda pembangunan negara tergendala semata-mata adu domba dan fitnah menjadi agenda, tersungkurlah kemakmuran negara, hancurlah bangsa. maka ketawalah mereka-mereka melihat bangsa kita membunuh sesama kita hanya kerana gilakan kuasa.
Osman@Mansor
Petaling Jaya
(Petikan Malaysiaaktif.com)
No comments:
Post a Comment