Thursday, July 31, 2008

Sanggupkah Anwar bersumpah Quran?

Goblok: sanggupkah Anwar ...sama-sama kita nantikan ...

ADAKAH Datuk Seri Anwar Ibrahim akan didakwa atas tuduhan meliwat berikutan laporan yang dibuat oleh Mohd Saiful? Ini soalan cepu emas. Dan segalanya bergantung di atas siasatan polis yang sudah memakan masa kira-kira sebulan. Difahamkan kertas siasatan telah dikemukakan kepada Peguam Cara Negara, Datuk Idris Harun untuk tindakan selanjutnya.

Kenapa siasatan polis terlalu lama hingga mengundang teguran daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Abdul Hamid Albar? Jawapannya, polis terpaksa amat berhati-hati dan profesional supaya tidak menimbulkan sebarang kesangsian terhadap siasatan mereka. Namun Anwar telah berjaya menimbulkan kesangsian.

Perjalanan siasatan yang terganggu dan imej yang dipalitkan oleh Anwar terhadap polis telah menambah kesulitan. Anwar berjaya melontarkan keraguan terhadap Tan Sri Musa Hassan dengan membuat laporan polis terhadapnya sehingga menyebabkan Perdana Menteri telah mengarahkan Ketua Polis Negara itu tidak campur tangan dan tidak boleh bercakap sepatah pun mengenai kes aduan Mohd Saiful ini. Segalanya diserahkan kepada Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar.

Anwar juga berjaya melontarkan keraguan terhadap PeguaM Negara, Tan Sri Gani Patail sehingga kes itu tidak lagi dirujuk kepadanya sebagaimana kebiasaan dan terpaksa diserahkan Peguam Cara Negara.

Sekalipun mempunyai bukti, polis dan Peguam Cara Negara tetap berhadapan dengan kesukaran untuk mendakwa kerana Anwar telah dari awal berjaya mengatur langkah strategik untuk menimbulkan kesangsian di kalangan orang ramai terhadap kebenaran kes ini.


Anwar mendakwa segalanya diada-adakan untuk menghalang kemaraannya dalam politik. Terbaru kononnya seorang doktor di Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) bernama Dr. Muhamad Osman Abdul Hamid yang berasal dari Myanmar telah memeriksa Mohd Saiful dan mendapatinya tiada sebarang kesan liwat pada si pengadu berkenaan.

Laporan mengenai hasil pemeriksaan doktor berkenaan didedahkan oleh Malaysia Today dan Malaysiakini, berserta salinan dokumen perubatan. Bagaimana mereka memperoleh dokumen itu menjadi tanda tanya.

Ekoran laporan dua laman berita itu, Anwar memanggil sidang media untuk mendesak supaya polis tidak meneruskan siasatan kerana terbukti kes tersebut diada-adakan.

Pada hari ini Pusrawi membuat kenyataan mengakui pegawai perubatannya Dr Muhamad Osman melakukan pemeriksaan terhadap Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 28 Jun lepas, tetapi bukan berkaitan liwat.

Pengurus Besarnya Wan Mahmood Wan Yaacob berkata, Dr Muhamad Osman adalah pegawai perubatan yang bertugas di klinik kemalangan dan kecemasan hospital itu dan beliau bukan seorang doktor pakar.

Katanya, doktor itu membuat pemeriksaan ke atas Mohd Saiful Bukhari apabila beliau mengadu sakit perut dan sakit di bahagian dubur.

Hanya selepas Dr Muhamad Osman selesai menjalankan pemeriksaan ke atas Mohd Saiful Bukhari, pesakit itu mendakwa bahawa beliau diliwat oleh seorang berprofil tinggi, kata Wan Mahmood. Siapa sebenarnya Dr. Muhamad Osman? Ini pun masih menjadi pertanyaan yang belum dijawab sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, peguam Mohd Saiful memberitahu bahawa anak guamnya akan membuat akuan bersumpah menggunakan Al-Quran dalam masa terdekat.

Ramai orang berkata, Anwar setakat ini telah berjaya dalam perang saraf untuk meyakinkan orang ramai bahawa beliau hanyalah mangsa penganiayaan. Ramai juga yang kini berpendapat bahawa memang wajar Anwar tidak membenarkan DNAnya diambil kerana ia akan `disalahguna' sebagai bukti terhadapnya.

Namun jika benar Mohd Saiful akan tampil untuk bersumpah dengan Quran, perang saraf Anwar akan gagal kecualilah beliau turut menjunjung Quran.

Polis dan Peguam Cara Negara juga berhadapan dengan kesukaran untuk bertindak kerana kes ini telah dipolitikkan dan dijadikan sarkas sebelum perbicaraan. Tapi percayalah bahawa Anwar akan tetap didakwa jika mereka mempunyai cukup bukti untuk mendakwanya. Tidak ada sebab mereka tidak akan membawa Anwar ke mahkamah jika ada bukti.

Sekadar sekeping dokumen pemeriksaan Dr. Muhamad Osman yang belum sahih asal-usulnya, tidak akan menyekat pendakwaan jika siasatan polis mendapati ada bukti lain untuk mendakwa Anwar.

Bagaimanapun, pada akhirnya Mohd Saiful akan bersumpah dengan Quran. Kita tunggu sama ada Anwar juga bersedia untuk menjunjung Quran. - malaysiaktif.com

Petikan www.malaysiaaktif.com
Ahmad Bashir
31 Julai 2008

No comments: