Tuesday, July 1, 2008

Berani Shabery berhadapan Anwar

Goblok:Berani kerana Benar...

Bashir Ahmad
28 Jun 2008


DATUK Ahmad Shabery Cheek adalah salah seorang pemimpin muda UMNO yang cepat melonjak. Daripada Setiausaha Parlimen Kementerian Luar pada 2004 hingga 2008, anak Terengganu ini diangkat menjadi Menteri Penerangan selepas PRU 2008. Barangkali pengalamannya sebagai Ketua Penerangan Semangat 46 dan kemudian Ketua Penerangan UMNO Terengganu sedikit sebanyak menjadi perkiraan Pak Lah untuk melantiknya.

Ketika lebih kurang dua minggu Shabery berada di Angkasapuri, penulis kebetulan bertemu dengan seorang pegawai kanan Kementerian Penerangan. Lalu ditanya bagaimana `bos barunya'.

Jawapan pegawai berkenaan agak menarik. Ketika bertemu pertama kali dengan Shabery di biliknya, Menteri Penerangan itu sambil senyum memberitahunya:`` Saya bukan bos awak, tapi rakan sekerja.''

Dikatakan juga bahawa jika makanan dihidangkan dalam majlis-majlis yang dihadirinya, Shabery mahu apa yang dihidangkan untuknya adalah apa yang dihidangkan untuk orang lain, tiada keistimewaan. Beliau juga kelihatan relaks memakai pakaian yang tidak terlalu rasmi dalam perjumpaan rasmi dengan kakitangan Kementerian Penerangan.

Tapi ada satu perangai yang menggusarkan pegawai-pegawainya mengenai menteri baru mereka ini. Jika meminta laporan mengenai apa jua perkara, beliau lazimnya meminta kertas berkaitan berada di atas mejanya dalam masa yang terlalu singkat. Ada kalanya sesuatu yang dilaporkan itu berlangsung pada waktu malam, tapi beliau mahukan laporan berkaitan sampai ke mejanya pada keesokan pagi. Tuntutan beliau terhadap kepantasan melebihi menteri-menteri sebelumnya.

Kata orang, program-program RTM menjadi jendela atau cermin kepada visi setiap Menteri Penerangan. Shabery telah memperkenalkan tiga program baru yang boleh dibaca sebagai visi dan cara beliau mengendalikan kementerian ini.

Buat pertama kali dalam sejarah, RTM menyiarkan siaran langsung persidangan Dewan Rakyat. Pada mulanya ia disambut dengan pelbagai pandangan, ada yang menyokong dan ada yang menentang. Akhirnya program tersebut kini diterima sebagai salah satu program popular walaupun penyiarannya bukan pada waktu puncak siaran.

Dua lagi program Shabery ialah Blog dan Bersemuka Dengan Media. Kedua-duanya adalah program bicarawara (talk show). Blog memberikan ruang kepada penulis blog untuk menjadi tetamu dan bercakap mengenai isu-isu kegemaran dalam blog masing-masing.

Bersemuka Dengan Media menjemput wakil-wakil media untuk muncul bersama tetamu khas mengenai isu-isu semasa. Mereka diberikan kebebasan untuk mengajukan apa jua soalan sekalipun panas kepada tetamu, kebanyakannya menteri kabinet.

Yang agak menarik, selepas program-program itu berjalan beberapa siri, Shabery mengadakan bengkel khas untuk membincangkan kelemahan dan mencari jalan untuk meningkatkan mutunya. Mereka yang diundang untuk memberikan pandangan adalah kalangan pengamal-pengamal media termasuk wartawan akhbar, pemblog dan pensyarah-pensyarah fakulti komunikasi.

Shabery sendiri mempengerusikan bengkel-bengkel berkenaan dan mengalu-alukan apa jua kritik sekalipun pedas.

Kelihatan bekas Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) ini mahu membawa pendekatan yang lebih segar dengan berdepan secara positif (positive engagement) sekalipun dengan pemblog-pemblog yang selama ini dikenali sebagai penghentam-penghentam kerajaan.

Sebelum program Blog dimulakan di RTM1, Shabery secara peribadi telah bersua sambil makan dengan beberapa orang pemblog bebas (tidak menyertai mana-mana parti politik) yang dianggap berpengaruh di dunia blog Malaysia. Akhirnya orang-orang seperti Kadir Jasin, Ahiruddin Rocky's Bru dan Raja Petra Kamaruddin muncul dalam program Blog untuk membuka satu dimensi baru hubungan Angkasapuri dengan media internet yang selama ini dimusuhi kerana dianggap hanya menjadi medan untuk membelasah kerajaan dan pemimpin-pemimpin kerajaan.

Sejauh mana keberkesanan pendekatan yang Shabery gunakan? Di kalangan wartawan-wartawan kanan dan veteran, mereka menerimanya secara positif. Mereka melihat bahawa Shabery cuba membawa angin segar dan langkah-langkah pembaharuan.

PRU 2008 telah mengesahkan kebangkitan suasana media baru yang dicorakkan oleh internet. Jika dulu media tradisional (akhbar dan TV) boleh dikawal malah dikuasai melalui perundangan dan penguasaan saham syarikat, media internet mengrevolusi keadaan ke suatu dimensi yang tersangat bebas dan jika tidak dilakukan sesuatu boleh mencetuskan anarki.

Dalam bengkel mengenai program Bersemuka Dengan Media, Shabery memberitahu para wartawan kanan yang hadir, program itu memberikan peluang kepada wartawan untuk bertanya apa jua soalan dan kemusykilan bagi pihak umum. Soalan yang sangat kritikal dan pedas juga dialu-alukan. Menteri-menteri yang menjadi tetamu juga diminta menjawab dengan jujur apa jua soalan yang dilontarkan.

Kata Shabery, semasa program itu dibincangkan dalam mesyuarat kabinet, Perdana Menteri sendiri meminta menteri-menteri hadir sebagai tetamu untuk memberi penjelasan terbaik mengenai isu-isu semasa yang menjadi tajuk bicara.

``Jika takut, jangan jadi menteri,'' begitulah Pak Lah dilaporkan berkata kepada menteri-menterinya.

Melalui Kementerian Penerangan, Shabery sebenarnya hanyalah merealisasikan dasar kerajaan Pak Lah yang lebih telus dan terbuka. Jika betul, apa yang perlu ditakutkan dan mahu disorokkan.

Atas arahannya, Kementerian Penerangan difahamkan sedang meyediakan Myblog, sebuah laman blog rasmi yang diharap akan menjadi saluran komunikasi antara rakyat dan kerajaan.

Dan terbaru, Shabery dilaporkan (lihat The Star June 28) akan bersemuka dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berdebat mengenai isu-isu harga minyak dan subsidi bahan api yang dikatakan akan berlangsung di Dewan Bahasa dan Pustaka pada 15 Julai akan datang.

Anwar telah berkali-kali menegaskan bahawa jika Pakatan Rakyat yang menerajui kerajaan persekutuan, harga minyak akan diturunkan. Inilah peluang baginya untuk membuktikan bahawa beliau bukan sekadar bertanam tebu di bibir.

Dan bagi Shabery, inilah juga peluang terbaik untuk mempertahankan tindakan yang kerajaan lakukan melalui penstrukturan semula subsidi bahan api.

Bukan calang-calang orang yang sanggup berhadapan dengan Saudara Anwar yang mahir berdebat dan pandai berucap dengan bakat yang diasah lama sejak zaman memimpin mahasiswa pada awal 70-an. Tapi Shabery sudah bersedia. Beliau juga pernah memimpin mahasiwa, lulusan bidang ekonomi dan dianggap salah seorang pemidato muda terbaik UMNO.

Yang lebih pokok, Shabery berani ke hadapan kerana mahu menegakkan kebenaran pihak yang diwakilinya. Beraninya kerana benar.

Menurut beberapa orang pemerhati politik, Shabery telah meletakkan dirinya di landasan yang betul. Masa depan politiknya kelihatan semakin cerah. - malaysiaaktif.com

No comments: